Follow us on:

MHI TV3 - My Syg

Lawatan Tidak rasmi Pegawai PPDa ke Bilik Sumber PPDa

Pada Rabu lepas, lawatan tidak rasmi bagi persiapan bilik sumber PPDa SK Desa Amanpuri telah dibuat. Ini merupakan persiapan akhir yang telah dijalankan oleh Unit PPDa sekolah bagi menghadapi pertandingan PPDa peringkat Negeri Selangor pada 2 Oktober 2012. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar esok.

Dadah kian mengancam keselamatan negara

POLIS Selangor telah menahan tiga warga asing bersama 10 kilogram dadah bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Pada 12 Februari yang lalu pula, seorang lelaki Iran juga ditahan sebaik sahaja tiba ke KLIA dari Dubai kerana menyeludup dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta dalam bagasi dan jaket yang dipakainya.
KLIA sebagai transit kini di tahap menakutkan berikutan peningkatan nilai rampasan dadah di lapangan terbang itu begitu mendadak sebanyak RM62 juta pada tahun lalu, berbanding RM17.6 juta pada 2008.
Dadah adalah satu isu yang tidak pernah berpenghujung. Sama ada bilangan penagih dadah mencapai angka puluhan ribu atau sejuta, yang pasti najis dadah masih menjadi musuh nombor satu negara.
Sesuatu yang seringkali berlegar di kepala kita adalah mengapa dan bagaimana penyalahgunaan dadah ini masih berleluasa di sebalik pelbagai kempen dan langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh banyak pihak?Mengapa dadah begitu mudah membolosi benteng penguatkuasaan?
Kita menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengadakan ujian pemeriksaan dadah bagi kira-kira tiga juta pelajar sekolah menengah di negara ini dengan menggunakan mesin pengimbas mata yang canggih. Ia satu langkah wajar bagi mencantas penyalahgunaan dadah daripada peringkat usia muda.
Malaysia adalah negara bebas dadah menjelang 2015. Inilah matlamat kerajaan. Sekiranya matlamat ini ingin dicapai, sudah sewajarnya semua pihak perlu membuat penilaian sejauh mana keberkesanan usaha ke arah itu sehingga kini.
Sudah sampai masanya agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan yang mempunyai pelan tindakan tersendiri bagi menangani isu berkaitan dadah bangun bersama dengan usaha bersepadu bagi memastikan keberkesanan mencapai matlamat negara sifar dadah.
Rantau Asia Tenggara telah menerima amaran baru bahawa kemungkinan lebih ramai yang akan terjebak dengan perangkap dadah sebagai agen pengantara bahan itu.
Kerajaan khasnya perlu sentiasa bersedia kerana sebagaimana laporan akhbar baru-baru ini bahawa pegawai tinggi narkotik India dan Pakistan telah mengingatkan kerajaan di Asia Tenggara tentang kemungkinan pengedar dadah dari Afrika meningkatkan kegiatan mereka dengan menggunakan wanita Asia bagi menyeludup heroin ke rantau ini, berikutan penuaian hasil candu yang lumayan di Afghanistan.
Amaran terbaru itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Dadah dan Jenayah (UNDOC) menyiarkan laporan dadah sedunia tahun lalu, yang menyebut bahawa Afghanistan mencatat hasil tuaian candu terbesar sebanyak 8,200 tan metrik atau 92 peratus dari jumlah keluaran dunia. Pengeluaran itu hampir sekali ganda daripada jumlah pengeluaran candu haram dunia sejak 2005.
Dalam pada berdepan dengan pelbagai isu berkaitan dadah terutama pengedaran dan penagihan bahan najis itu dalam negara yang masih tiada berpenghujung, mahu tidak mahu, kita terpaksa juga menghadapi ancaman akibat penyeludupan dadah secara besar-besaran ke rantau ini dari negara asing.
Dadah satu masalah sosial yang dihadapi pelbagai kaum, justeru apa juga pendekatan atau tindakan yang diambil harus membabitkan semua kaum. Pembabitan para ibu bapa juga amat diperlukan agar tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja.
Ini kerana kita kerap mendengar kisah anak-anak yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah disebabkan penceraian ibu bapa, derita anak ketandusan kasih sayang dan pengaruh rakan sebaya yang membawa padah.
Kehidupan hari ini menyaksikan semakin terlerainya ikatan kukuh institusi kekeluargaan yang mencetuskan pelbagai gejala sosial di kalangan anak muda.
Apa jua usaha dan langkah yang diambil peranan institusi kekeluargaan masih terus berada di puncak.
Anak-anak muda perlu diberi panduan dan tunjuk ajar yang sebaik-baik agar tidak menjadi kutu embun, keluar malam dan balik ke rumah awal pagi. Ibu bapa pula sibuk mencari rezeki sehingga tidak dapat meluangkan masa bersama anak.
Kerajaan juga perlu terus memantau segala tindakan yang diambil dan bersedia membuat pindaan undang-undang yang lapuk dan tidak dikemaskini.
Bagi penagih dadah yang mahu kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat, mereka memerlukan sokongan berterusan supaya tidak terjerumus kembali kepada penagihan dadah.

Tema PPDa SKDA

VISI DAN MISI

Visi
Sekolah Bebas Dadah , Negara Bebas Dadah Tahun 2015
Misi KPM
Melahirkan murid bebas dadah melalui Program PPDa yang bersepadu dan menyeluruh daripada aspek Pengurusan Kepimpinan, Kurikulum, Pengurusan Sahsiah dan Kokurikulum

Misi Bahagian Sekolah Harian
Melahirkan pelajar bebas dadah melalui pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah ( PPDa )
yang mantap dan berkesan dalam mempastikan sekolah bebas dari dadah.
Matlamat
Matlamat Pendidikan Pencegahan dadah di Sekolah ialah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa agar mereka menjauhinya dan berupaya menentang ancaman dadah dengan meletakkan sasaran “ Sekolah Bebas Dadah .”
Fungsi :-
Pendidikan Pencegahan Awalan untuk rokok, dadah, inhalan, alkohol dan HIV/Aids.
Pengurusan Program Intervensi untuk murid yang berisiko dan terlibat mencuba
rokok, dadah, inhalan, alkohol dan HIV-Aids.
Pengurusan Data, Penyelidikan, Dokumentasi dan Publisiti berkaitan PPDa.
Pengurusan Hubungan Luar

MAJLIS PENTAULIAHAN RAKAN PPDa









PPDa sekolah tidak bermakna tanpa penglibatan murid. Oleh itu, Rakan PPDa sekolah telah diwujudkan untuk memberi bimbingan kepada rakan sebaya sebagai usaha memerangi gelala negatif ini. Empat belas orang pelajar yang terpilih telah diberi pengiktirafan dalam satu majlis khas. pelajar pelajar ini telah menerima surat perlantikan dan sijil watikah perlantikan daripada Guru Besar SK Desa Amanpuri.

MAJLIS PELANCARAN PPDa SEKOLAH






Sebagai tanda bermulanya kempen pendidikan pencegahan dadah SKDA, satu majlis pelancaran  diadakan di tapak perhimpunan dan Guru Besar SK Desa Amanpuri telah menyempurnakan majlis pelancaran tersebut.  Sebagai tanda simbolik, pemotongan ribbon telah dilakukan oleh Guru Besar dan terserlahlah cogan kata " KAMI WARGA SKDA BANGGA BEBAS DADAH". Majlis telah diadakan pada 27 Februari 2012.

PPDa SK Desa Amanpuri

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua warga SK Desa Amanpuri yang telah menubuhkan Unit PPDa yang mantap dan akhirnya telah berjaya mewakili daerah Gombak dalam pertandingan Bilik Sumber PPDa ke Peringkat Negeri Selangor tahun 2012. Bersesuaian dengan visi PPDa, Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012, SK Desa Amanpuri terpanggil untuk mengambil bahagian secara serius dalam menyokong usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dalam merealisasikan pencapaian Visi dan Misi PPDa itu sendiri. Kerjasama yang jitu di kalangan warga kerja SKDA amat membanggakan dan dalam tempoh yang singkat usaha ini telah mencapai sasaran dan seterusnya bakal menjadi contoh kepada warga pendidik yang lain untuk memerangi ancaman dadah di seluruh negara.