POLIS Selangor telah menahan tiga warga asing
bersama 10 kilogram dadah bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Pada 12 Februari yang lalu pula, seorang lelaki Iran juga ditahan
sebaik sahaja tiba ke KLIA dari Dubai kerana menyeludup dadah jenis
syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta dalam bagasi dan jaket
yang dipakainya.
KLIA sebagai transit kini di tahap menakutkan berikutan peningkatan
nilai rampasan dadah di lapangan terbang itu begitu mendadak sebanyak
RM62 juta pada tahun lalu, berbanding RM17.6 juta pada 2008.
Dadah adalah satu isu yang tidak pernah berpenghujung. Sama ada
bilangan penagih dadah mencapai angka puluhan ribu atau sejuta, yang
pasti najis dadah masih menjadi musuh nombor satu negara.
Sesuatu yang seringkali berlegar di kepala kita adalah mengapa dan
bagaimana penyalahgunaan dadah ini masih berleluasa di sebalik pelbagai
kempen dan langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh banyak
pihak?Mengapa dadah begitu mudah membolosi benteng penguatkuasaan?
Kita menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengadakan ujian
pemeriksaan dadah bagi kira-kira tiga juta pelajar sekolah menengah di
negara ini dengan menggunakan mesin pengimbas mata yang canggih. Ia satu
langkah wajar bagi mencantas penyalahgunaan dadah daripada peringkat
usia muda.
Malaysia adalah negara bebas dadah menjelang 2015. Inilah matlamat
kerajaan. Sekiranya matlamat ini ingin dicapai, sudah sewajarnya semua
pihak perlu membuat penilaian sejauh mana keberkesanan usaha ke arah itu
sehingga kini.
Sudah sampai masanya agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan yang
mempunyai pelan tindakan tersendiri bagi menangani isu berkaitan dadah
bangun bersama dengan usaha bersepadu bagi memastikan keberkesanan
mencapai matlamat negara sifar dadah.
Rantau Asia Tenggara telah menerima amaran baru bahawa kemungkinan
lebih ramai yang akan terjebak dengan perangkap dadah sebagai agen
pengantara bahan itu.
Kerajaan khasnya perlu sentiasa bersedia kerana sebagaimana laporan
akhbar baru-baru ini bahawa pegawai tinggi narkotik India dan Pakistan
telah mengingatkan kerajaan di Asia Tenggara tentang kemungkinan
pengedar dadah dari Afrika meningkatkan kegiatan mereka dengan
menggunakan wanita Asia bagi menyeludup heroin ke rantau ini, berikutan
penuaian hasil candu yang lumayan di Afghanistan.
Amaran terbaru itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas Pejabat
Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Dadah dan Jenayah (UNDOC) menyiarkan laporan
dadah sedunia tahun lalu, yang menyebut bahawa Afghanistan mencatat
hasil tuaian candu terbesar sebanyak 8,200 tan metrik atau 92 peratus
dari jumlah keluaran dunia. Pengeluaran itu hampir sekali ganda daripada
jumlah pengeluaran candu haram dunia sejak 2005.
Dalam pada berdepan dengan pelbagai isu berkaitan dadah terutama
pengedaran dan penagihan bahan najis itu dalam negara yang masih tiada
berpenghujung, mahu tidak mahu, kita terpaksa juga menghadapi ancaman
akibat penyeludupan dadah secara besar-besaran ke rantau ini dari negara
asing.
Dadah satu masalah sosial yang dihadapi pelbagai kaum, justeru apa
juga pendekatan atau tindakan yang diambil harus membabitkan semua kaum.
Pembabitan para ibu bapa juga amat diperlukan agar tidak hanya
bergantung kepada kerajaan sahaja.
Ini kerana kita kerap mendengar kisah anak-anak yang terjebak dalam
penyalahgunaan dadah disebabkan penceraian ibu bapa, derita anak
ketandusan kasih sayang dan pengaruh rakan sebaya yang membawa padah.
Kehidupan hari ini menyaksikan semakin terlerainya ikatan kukuh
institusi kekeluargaan yang mencetuskan pelbagai gejala sosial di
kalangan anak muda.
Apa jua usaha dan langkah yang diambil peranan institusi kekeluargaan masih terus berada di puncak.
Anak-anak muda perlu diberi panduan dan tunjuk ajar yang sebaik-baik
agar tidak menjadi kutu embun, keluar malam dan balik ke rumah awal
pagi. Ibu bapa pula sibuk mencari rezeki sehingga tidak dapat meluangkan
masa bersama anak.
Kerajaan juga perlu terus memantau segala tindakan yang diambil dan
bersedia membuat pindaan undang-undang yang lapuk dan tidak dikemaskini.
Bagi penagih dadah yang mahu kembali ke pangkuan keluarga dan
masyarakat, mereka memerlukan sokongan berterusan supaya tidak
terjerumus kembali kepada penagihan dadah.